Friday, 3 May 2019

Malaysia: Zahid tak dapat pergi Umrah, mahkamah tolak serah pasport


Zahid Hamidi tidak pernah gagal melakukan umrah setiap kali bulan puasa. – Foto Utusan

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah (CBT) dan rasuah, supaya pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah, dikembalikan untuk beliau mengerjakan umrah.

Selepas mendengar penghujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata sungguhpun mengerjakan umrah sangat digalakkan semasa Ramadan namun ia bukanlah wajib.

“Dalam pemahaman saya, tiada keperluan mendesak dan tiada kewajipan bagi pemohon untuk mengerjakan umrah. Sungguhpun pemohon telah mengerjakan umrah sejak 30 tahun lepas, keadaan yang berlaku sekarang sangat berbeza memandangkan beliau kini menghadapi pertuduhan yang pelbagai dan serius. Oleh itu, mahkamah menolak permohonan ini,” katanya.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Zahid, berhujah anak guamnya perlu pergi ke Arab Saudi antara 9 Mei dan 3 Jun ini untuk mengerjakan umrah.

Hisyam berkata anak guamnya tidak mempunyai niat lain kerana beliau seorang ahli Parlimen dan keluarganya juga tinggal di negara ini.

“Beliau akan kembalikan pasport itu kepada mahkamah pada hari berikutnya selepas beliau pulang ke negara ini,” katanya.

Zahid turut hadir di mahkamah.

Seorang lagi peguam, Ahmad Zaidi Zainal berkata anak guamnya tidak pernah gagal mengerjakan umrah sejak 30 tahun lepas terutamanya dalam bulan Ramadan.

Hakim: Jadi, adakah kamu mengatakan ia wajib?

Zaidi: Tidak…tapi sangat dituntut dalam Islam. Beliau tidak pernah gagal mengerjakan umrah sejak 30 tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi membantah permohonan itu dengan mengatakan bukanlah keperluan mendesak bagi pemohon untuk mengerjakan umrah memandangkan pertuduhan yang dihadapinya sangat serius.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 18, 20, 21, 22 November dan 2, 3, 4, 5, 6, 9, 10, 11, 12,13 Disember untuk perbicaraan.

Pada 22 Mac, Hakim Sequerah menetapkan 18 hari untuk perbicaraan dari 8 Julai hingga 12 September.

Bagaimanapun, tarikh berkenaan dilapangkan untuk perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak, yang berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, yang dijadual bermula dari 19 Ogos hingga 2 minggu pertama November.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember tahun lepas, Zahid mengaku tidak bersalah terhadap sejumlah 46 pertuduhan, terdiri daripada 11 pertuduhan CBT, 8 pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berjuta-juta ringgit kepunyaan Yayasan Akalbudi.

Pada 20 Feb tahun ini, beliau didakwa atas 1 lagi pertuduhan CBT membabitkan RM260,000 milik Yayasan Akalbudi.

Setakat ini, beliau berdepan sejumlah 47 pertuduhan. – Bernama – Majalah Review Malaysia

DIKEMASKINI: Bung Moktar didakwa rasuah RM2.8 juta Felcra, Zizie bersubahat, bebas ikat jamin 100 ribu

KLIK SINI BACA: Pendedahan IGP Hamid Bador yang menggemparkan tentang skandal 1MDB 

KLIK BACA: Penasihat Najib terima RM2.5 juta beri duit pada isteri dan anak

KLIK BACA: Shafee dituduh terima wang dari Najib, elak cukai LHDN, gubah wang haram

KLIK BACA: Siapa Roslan Sohari dikait bank Rosmah?

KLIK BACA: Anak saudara Hishammuddin dapat cek RM240,000 dari Najib

The post Zahid tak dapat pergi Umrah, mahkamah tolak serah pasport appeared first on Malaysian Review.



sumber: Malaysiareview.com via #superpantas

0 comments:

Post a Comment