#Informasi: Ternak Babi Di Kubang Menerong &Kampung Selamat, PP.


Pemuda PAS-Umno tinjau pencemaran ternakan babi 

TASIK GELUGOR: Pemuda PAS dan Pemuda Umno telah turun padang bersama melihat sendiri pencemaran air dan udara yang berpunca dari kegiatan penternakan babi di Kubang Menerong dan Kampung Selamat, di sini hari ini.
Tinjauan oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ahmad Safuan Ujar dan Pemuda PAS Kawasan Tasek Gelugor, Khairul Arshad itu bersama Pemuda Umno Bahagian Tasek Gelugor, Amirul Mohamed Noor, Saiful Azizi Mohd Shukri dan Khairi Ismail.
Mereka dapati, pencemaran itu meliputi Kampung Selamat, Kampung Air Melintas Kecil, Kampung Air Melintas Besar, Kampung Permatang Berangan, Kampung Tok Bedu dan Kampung Kubang Menerong yang bermajoriti penduduk Melayu.
Difahamkan penternakan tersebut telah wujud selama 40 tahun di mana aduan penduduk tidak pernah mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib, sedangkan kini terdapat tidak kurang 74 kandang yang meningkat sejak dahulu.
Lebih mengecewakan penduduk apabila penternakan yang dijalankan tidak mempunyai sistem kumbahan lalu menjadikan sungai sebagai salurannya, menyebabkan airnya sangat kotor dan berbau, serta dikhuatiri menjadi punca penyakit.
Malah, keadaan tersebut turut mengancam pendapatan lebih 400 pesawah berikutan pencemaran tersebut menjadikan air bersih yang diperlukan untuk mengairi sawah-sawah padi mereka menjadi semakin terhad.
Menurut Safuan, penternak sewajarnya mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016 yang telah diluluskan Dun Pulau Pinang sejajar dengan perlaksanaan System Modern Pig Farming (MPF) diputuskan Kerajaan Persekutuan tahun 2014.
"Pemuda menggesa pengusaha-pengusaha yang masih menjalankan aktiviti penternakan secara tradisional perlu bertukar kepada penternakan moden dan berteknologi dengan mematuhi kriteria MPF iaitu kandang babi tertutup dan sistem pengurusan sisa kumbahan ladang zero discharge.
"(Juga mengadakan) zon penampan dengan jarak minimum 200 meter dari kawasan kediaman, rumah ibadat, sekolah, klinik, taman rekreasi, pasar dan tempat makan awam serta mengamalkan amalan ladang ternakan yang baik (GAHP).
"Kami juga menggesa tindakan segera dibuat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) termasuk Kerajaan Negeri dalam menangani kegiatan pengendali ladang-ladang ternak babi terbabit," desak mereka yang menyatakan terdapat pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. - HARAKAHDAILY 4/5/2019
IMG 20190504 WA0065
IMG 20190504 WA0062


sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

Post a Comment

0 Comments