#Informasi: PTMP: K'jaan Gagal Kemuka Penjelasan Meyakinkan?




Sidang Dun bayang PTMP eksklusif, penuh curiga
SIDANG Dun Pulau Pinang sewajarnya menjadi medan terbaik membahas kontroversi berkaitan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Malangnya, pihak kerajaan gagal mengemukakan penjelasan meyakinkan, malah dilihat cuba menyembunyikan banyak perkara. Ini hanya akan menguatkan lagi persepsi wujudnya agenda dan komplot terselindung disebalik projek super mega itu.
Begitu juga perbahasan dalam kalangan Adun pihak kerajaan sendiri di mana turut menampakkan banyaknya kekaburan dan kekeliruan berkaitan PTMP. Jika mereka selaku pihak bersama kerajaan pun berkeadaan demikian, maka tidak pelik rakyat umumnya lebih merasa was-was dan sangsi. Kerajaan dicurigai tidak ‘telus’, bahkan pula telah menunjukkan tindakan serta menghala perancangan yang ‘tembus’.
Asasnya, penolakan berbangkit dalam kalangan rakyat dan banyak NGO adalah kerana PTMP juga tidak ‘cekap’ dan ‘akauntabiliti’ di mana jelas menghadirkan banyak impak negatif dan berkepentingan. Di atas nama pembangunan dan sebagai kaedah menyelesaikan masalah sedia ada, ia rupanya menjadi satu bentuk ‘penjajahan’ baharu dan mengimport banyak beban untuk masa depan.
Rakyat yang sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan, kini telah tersisih dan bakal terusir keluar dari negeri ini atas pembangunan mewah sedang dipacu. Kerajaan ternyata begitu ghairah dan haloba untuk menjadikan Pulau Pinang seperti Hong Kong dan Singapura. Walhal, tidak mempunyai kemampuan sendiri tetapi dipercayai begitu mengharap dan menagih bantuan dari Kerajaan Persekutuan dan pemaju.
Bahkan, kerajaan disyaki cuba mendapat kelulusan berkaitan projek ini secara politik dan ‘pintu belakang’, selain mungkin bersikap curang yang boleh menggadai kedaulatan negeri. Apatah lagi, portfolio berkaitan pengangkutan, alam sekitar dan kewangan dipegang Menteri dari parti DAP, yakni sama parti Kerajaan Pulau Pinang. Ditambah bayangan isu rasuah dan penyelewengan yang belum terjawab.
PTMP juga dipersoal kemampanannya oleh Adun pihak kerajaan semasa sidang minggu lalu berkaitan kelicinan perjalanan aliran trafik serta jangkaan peningkatan pencemaran udara dan bunyi. Termasuk juga suara bernada skeptikal terhadap sikap berhemah dan kemampuan kewangan yang tidak jelas pembiayaannya, selain jangkaan masa depan melibatkan kos penyelenggaraan sangat besar.
Isu penyelenggaraan juga melihat wujudnya ketidakmampuan mengadakan pengurusan strata dan sisa dengan baik. Ini mengundang risiko berkaitan kecemasan dan keselamatan, selain kebersihan dan keselesaan. Perlu juga ‘diinsafi’ supaya tidak memenuhi nafsu pembangunan yang tidak seimbang. Antara kesan dapat dilihat dari pemajuan kediaman yang meningkat tiga kali ganda, tetapi terdapat 3,445 unit tidak terjual setakat ini.
Ini belum termasuk isu berkaitan kelestarian alam semulajadi dan keharmonian penduduk pelbagai kaum, juga melibatkan budaya dan warisan. Jika demikian, kempen menjadikan Pulau Pinang negeri bersih, hijau, sihat dan selamat untuk didiami hanyalah retorik dan slogan kosong. Ianya bukan sahaja terlalu eksklusif kepada Eksekutif Kerajaan Pulau Pinang, tetapi berbaur dan tersirat oleh kepentingan politik DAP.
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

MOHD FARHAN YUSRI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang - HARAKAHDAILY 5/5/2019

sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

Post a Comment

0 Comments