Thursday, 25 April 2019

Malaysia: Saya diarah buat laporan palsu, polis beritahu RCI Wang Kelian


Husyairi Muhd Isa ialah saksi ke-18 inkuiri RCI Wang Kelian.

PUTRAJAYA: Seorang saksi memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian, beliau diarah mendraf satu laporan polis palsu mengenai sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di kaki Bukit Wang Burma.

Bekas ketua Bahagian Risikan Operasi di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, Husyairi Musa berkata arahan itu diberikan Ketua Polis Padang Besar ketika itu, Rizani Che Ismail.

Katanya, beliau menerima panggilan daripada Rizani yang mengarahkannya mengambil 5 Pati ditahan Cawangan Khas Perlis.

Katanya, beliau diminta pergi ke satu lokasi di Taman Negara Perlis, dekat sebuah tapak pelupusan sampah.

Katanya, beliau memandu ke sebuah lokasi di tepi jalan untuk mengambil 5 Pati itu dan membawa mereka ke IPD.

Di sana, beliau ternampak individu yang dianggapnya ahli Cawangan Khas, ada yang berbaju seragam dan berpakaian biasa.

Husyairi berkata, beliau tidak dapat mengenal pasti kumpulan lelaki itu, walaupun sudah bekerja di IPD selama 5 tahun.

“Tangkapan itu dibuat Cawangan Khas. Saya tak pasti siapa,” kata saksi ke-18 itu kepada inkuiri RCI yang memasuki hari ke-6, hari ini.

“Ketua polis daerah saya kata ia ada kaitan dengan satu penangkapan yang sudah dilakukan dan beliau minta saya ke kawasan taman negara.”

Beliau berkata, ia bukan prosedur biasa kerana pegawai yang membuat tangkapan itu biasanya mereka yang menyerahkan laporan.

“Tetapi, pegawai atasan saya (Rizani) minta saya draf laporan polis itu dengan berkata saya terserempak individu kelihatan mencurigakan ketika membuat rondaan dan saya menahan mereka sendiri.”

Katanya, laporan itu tidak betul, tetapi beliau tiada pilihan kecuali mengikut arahan pegawai atasannya.

Husyairi berkata, ketika mengambil keterangan lelaki ditahan itu, beliau mendapati 2 daripada mereka ialah warga Thailand dengan seorang mempunyai pistol dan seorang lagi membawa parang. Seorang daripada suspek itu hanya berusia 15 tahun.

Saksi ke-17 RCI itu, Inspektor Mohamad Afiq Sarmid daripada pasukan Komando VAT 69 berkata, beliau menahan 5 Pati di dalam hutan dan membawa mereka ke kaki Bukit Wang Burma.

Katanya, 2 daripadanya mempunyai sepucuk pistol dan sebilah parang, dengan ada di kalangan mereka yang tidak mempunyai dokumen. Seorang daripadanya memiliki dokumen pengenalan Thailand.

“Saya tidak boleh berkomunikasi dengan mereka kerana mereka tidak faham Bahasa Malaysia atau Inggeris.”

Katanya, beliau menemui Pati itu kira-kira 200m dari sebuah kem ditinggalkan yang ditemui pasukannya ketika memeriksa hutan di kawasan Genting Perah, Perlis.

Beliau mengetuai sepasukan 24 anggota untuk mencari kem Pati di hutan Genting Perah, berdasarkan maklumat Cawangan Khas.

Afiq berkata, beliau diminta berbuat demikian untuk mengesahkan maklumat mengenai kem hutan di kawasan terbabit.

Katanya, operasi itu diadakan pada 11 hingga 13 Mac 2015 dan mereka mengambil masa 2 hari untuk tiba di sebuah tapak khusus dalam hutan itu yang disyaki ialah sebuah tapak kem.

“Ketika itu, apa yang tinggal hanya struktur dan tiang kayu. Tiada orang atau apa-apa di kawasan itu.”

Selepas membuat tangkapan dan menemui kem itu, katanya, pasukannya diminta menarik diri daripada operasi itu.

“Arahan kepada kami ialah menarik diri dan menyerahkan sebarang tangkapan atau barang rampasan, jika kami temui kepada Cawangan Khas.”

RCI itu ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian pada 2015.

Panel inkuiri itu diketuai bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria dan dianggotai bekas ketua polis negara, Norian Mai; bekas ketua pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Noorbahri Baharuddin; Razali Ismail yang baru meletak jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia; bekas ketua penyelidik Jabatan Peguam Negara, Junaidah Abd Rahman; bekas duta Malaysia ke Thailand, Nazirah Hussin dan bekas timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Dr Tan Seng Giaw. Yusran Shah Yusof ialah setiausaha RCI itu. – Sumber Free Malaysia Today | Majalah Review Malaysia

KLIK BACA: Shafee dituduh terima wang dari Najib, elak cukai LHDN, gubah wang haram

KLIK BACA: Siapa Roslan Sohari dikait bank Rosmah?

KLIK BACA: Najib mangsa dikelirukan oleh Jho Low, pegawai bank, kata Shafee

KLIK BACA: Anak saudara Hishammuddin dapat cek RM240,000 dari Najib

KLIK BACA: Analisis – Tun Mahathir PM cuma setengah penggal buat apa bertelingkah dengan Raja?

KLIK BACA: Mahkamah Khas boleh bicarakan Raja yang didakwa, kata Bekas Ketua Hakim Negara

KLIK BACA: Dalam ISLAM tak perlu isytihar harta, kata PAS

The post Saya diarah buat laporan palsu, polis beritahu RCI Wang Kelian appeared first on Malaysian Review.



sumber: Malaysiareview.com via #superpantas

0 comments:

Post a Comment