Monday, 8 April 2019

Malaysia: Dr Mahathir boleh berhenti jadi PM hanya selepas Malaysia benar-benar selamat


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu melayan pemimpin PH yang mengada-ngada yang konon-konon mahu melakukan reformasi . – Foto The Malaysian Insight

oleh Amin Iskandar

Jumaat lalu pada satu sidang media Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat.

Selain itu Dr Mahathir mendedahkan terdapat cubaan daripada pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan menggunakan isu Statut Rom ini.

Beliau berkata, ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku perdana menteri.

Menurut Dr Mahathir, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rome ICC pada Jun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.

Pada sidang media itu Dr Mahathir meluahkan kekecewaannya apabila ada pihak cuba mengheret institusi Raja untuk menentang kerajaan yang didakwa kononnya mahu menyerahkan kuasa kepada negara luar dan menghakis hak serta kekebalan Raja-Raja Melayu.

“Kita tahu (isu) dipolitikkan oleh pihak tertentu yang tujuannya mahu institusi Raja menentang kerajaan sekarang. Sesetengah anggota kerabat diraja mungkin terbabit, tetapi keseluruhan rancangan ini adalah supaya kerabat diraja di Malaysia menentang kerajaan sekarang, itulah motifnya.

“Disebabkan kekeliruan ini, kami membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf statut berkenaan. Bukan kerana kita fikir ia berbahaya, tetapi kerana dipolitikkan. Mereka cakap jika kita tandatangan, kita akan hilang kebebasan, dasar dan undang-undang di negara kita. Ini tak benar.

“Yang benar, kalau kita keterlaluan buat sesuatu yang amat buruk dan tak betul, seluruh dunia akan kutuk kita, sama ada kita tandatangan (Statut Rome) atau sebaliknya,” katanya dengan nada marah.

Sejak hari pertama menjadi perdana menteri buat kali kedua, setiap hari Dr Mahathir diasak. Beliau diasak oleh rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan (PH) dan juga dalam kalangan parti pembangkang. Sudah tentu asakan daripada PH menyebabkan Dr Mahathir terluka.

Asakan terus dilakukan pemimpin PH walaupun ramai anggota Kabinet mengakui bahawa Dr Mahathir sangat demokratik dalam memimpin kerajaan. Beliau bukan sahaja mendengar pandangan semua pihak malahan mengikut keputusan majoriti selain tidak pernah memaksakan pandangannya untuk diterima anggota Kabinet.

Perkara ini didedahkan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam satu kenyataan pada 26 Mac lalu. Mohamad dengan tegas mengatakan tidak adil bagi mana-mana pihak untuk menyalahkan Dr Mahathir dalam setiap keputusan dibuat Kabinet kerana keputusan itu dibuat secara bersama.

Kabinet turut dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan menteri-menteri lain. Sebarang keputusan dilakukan kerajaan perlu dipertanggungjawabkan kepada mereka-mereka ini dan bukan hanya Dr Mahathir. Ini inti kepada kenyataan Mohamad yang juga merupakan presiden kepada Amanah.

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir yang amat mengenali watak bapanya berkata, Dr Mahathir akan menjadi lebih hebat dan garang apabila dicabar.

Mukhriz berkata, usaha pihak tertentu memburukkan PH dalam isu meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak akan sesekali melemahkan kerajaan pimpinan bapanya itu.

Penulis berpandangan sudah sampai masanya Dr Mahathir bertindak “garang” dalam memastikan Malaysia berada di landasan yang betul.

Secara tidak langsung Dr Mahathir akan dapat mengajar anggota Kabinet yang terlalu “lembab” dan pimpinan PH yang “mengada-gada” tentang bagaimana untuk mengemudi kerajaan dengan betul.

Dr Mahathir tidak perlu berhenti terlalu awal seperti yang dimahukan sesetengah pihak yang tidak sabar-sabar untuk berkuasa kerana janji beliau kepada rakyat Malaysia pada PRU14 ialah untuk menyelamatkan negara.

Dalam bahasa mudah Dr Mahathir hanya boleh berhenti selepas Malaysia benar-benar selamat dan menjadi lebih baik daripada sekarang.

Dr Mahathir perlu meneruskan tugas sebagai perdana menteri kerana mandat itu diberikan dengan jelas oleh rakyat pada PRU14 lalu.

Tidak salah Dr Mahathir untuk meneruskan tugas sehingga habis penggal.

Selepas itu terserah kepada PH untuk memilih siapa yang mereka rasanya layak untuk menjadi perdana menteri kelapan. Dr Mahthir tidak akan melanggar janji jika melakukan perkara ini. Sudah tentu ramai rakyat Malaysia akan berterima kasih kepadanya

Dalam menjalankan tugas sebagai perdana menteri, Dr Mahathir tidak perlu melayan lagi pemimpin PH yang mengada-ngada yang konon-konon mahu melakukan reformasi akan tetapi agenda sebenar ialah untuk diri sendiri dan keluarga.

Biarlah digelar apa sekalipun termasuk sebagai “diktator” asalkan Malaysia dikembalikan ke landasan yang betul. Yang penting rakyat tahu.

AMIN ISKANDAR berkicau menggunakan akaun Twitter @aminiskandar. Tulisan merupakan pandangan peribadinya dan tidak ada kena mengena dengan sebarang jawatan yang “mungkin” beliau pegang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysianReview – Majalah Review Malaysia

KLIK BACA: Najib lebih buruk berbanding Anwar, kata PM Tun Mahathir

KLIK BACA: TH Darurat Macam Isteri Nak Bersalin – Zeti & Khairuddin

KLIK BACA: Bersihkan bilik penjara Sg Buloh, penghuni baru masuk, kata Anwar

KLIK BACA: 3 April Najib dilantik PM, 3 April Najib didakwa pecah amanah jenayah

KLIK BACA: “Ada klepto berserban jadi imam, ahli syurga berduyun-duyun pergi ke SPRM” – Rafidah

KLIK BACA: Cukai LHDN RM1.5b, Tun Mahathir mahu mufliskan Najib?

The post Dr Mahathir boleh berhenti jadi PM hanya selepas Malaysia benar-benar selamat appeared first on Malaysian Review.



sumber: Malaysiareview.com via #superpantas

0 comments:

Post a Comment