Saturday, 13 April 2019

#Informasi: PRK Rantau, 'menandakan PH tidak lagi selamat dalam PRU15'. -Dr Kamarulzaman Yusoff.




Makna kekalahan PH di Rantau 
KEPADA PH, kekalahannya di Rantau menandakan PH tidak lagi selamat dalam PRU15.
Rantau adalah kerusi campuran, tonggak kekuatan PH dalam PRU14 yang menjadikan PKR pemenang kerusi terbanyak antara semua parti dalam PH.
Sebelum ini kemenangan kerjasama BN-PAS di Semenyih dirujukkan sebagai berpunca daripada ketidakpuasan hati pengundi Melayu kepadanya.
Kini kemenangan kerjasama BN-PAS di Rantau menunjukkan bukan setakat pengundi Melayu tetapi pengundi bukan Melayu juga turut tidak berpuas hati kepada PH.
Cabaran seterusnya kepada kerjasama BN-PAS adalah untuk cuba membuktikan bahawa ia bukan sahaja mampu menang di kerusi majoriti Melayu dan di kerusi campuran, tetapi ia juga mampu memberikan cabaran yang kuat di kerusi majoriti bukan Melayu.
Peluang ini terbuka luas kepada kerjasama BN-PAS di Sandakan di mana jika ia mampu membuktikan bahawa ia juga mampu mengurangkan dengan drastiknya majoriti kemenangan DAP di sana maka nyatalah cahaya gelap menunggu PH dalam PRU15.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, sendiri menyifatkan PRK Rantau sebagai ibu kepada segala PRK, dengan kesannya dikatakan sangat besar bukan sahaja kepada politik Negeri Sembilan tetapi juga kepada politik Malaysia.
Kepada kerjasama BN-PAS, bila ia mampu memenangi ibu kepada segala PRK ini dengan majoriti yang sangat meyakinkan maka bolehlah dirumuskan bahawa rakyat semakin menerima kerjasama BN-PAS dan cahaya terang menunggunya dalam PRU15.
Kepada DSAI dan DSMH
Kepada DSAI, telah saya nyatakan awal-awal sebelum ini dalam komentar bertajuk "PKR Kalah, DSAI Bermasalah" bahawa masa depan DSAI dijangka akan menjadi lebih suram jika PKR kalah di Rantau.
Telah saya nyatakan bahawa jika PKR kalah di Rantau maka ini akan memberikan petunjuk yang negatif terhadap masa depan PKR dan DSAI selaku Presidennya dalam PRU15 kerana kerusi campuran inilah tonggak PKR.
Dapat disaksikan penglibatan sangat besar dan aktif DSAI dalam PRK Rantau sehingga banyak pihak menyifatkan pertembungan ini adalah lebih kepada pertembungan pengaruh dan ketokohan antara DSAI dan DSMH.
DSAI sedar beliau berdepan dengan bekas seorang Menteri Besar dan Presiden de facto Umno sekarang tetapi beliau memandang rendah pengaruh dan ketokohan DSMH dengan mencalonkan seorang pemimpin tidak ternama dari luar Rantau yang baru saja berdepan isu penipuan RM62,000 oleh rakan sendiri.
DSAI sedar dari awal lagi isu perkauman dan keagamaan akan digunakan di Rantau tetapi beliau memandang tinggi prinsip dasar keadilan semua kaum yang menjadi teras perjuangan PKR dengan mencalonkan seorang pemimpin bukan Melayu bagi melawan DSMH.
Pada akhirnya, DSAI hanya mempunyai diri beliau sendiri untuk dipersalahkan atas kesilapan calon dan strategi yang beliau sendiri pilih, dan beliau tidak boleh menyalahkan pihak-pihak lain yang kurang membantu bila beliau atau orang-orang beliau sendiri memperlihatkan sikap kurang mesra kepada mereka.
Kegagalan DSAI memenangkan PKR di Rantau di sebalik segala usaha keras beliau sudah pasti akan melunturkan aura bakal Perdana Menteri yang beliau miliki sekali gus berpotensi menjadikan jawatan Perdana Menteri semakin lebih jauh daripada jangkauan beliau.
Apatah lagi bila jawapan rasmi kepada soalan Ahli Parlimen PKR mengenai langkah-langkah untuk memastikan proses peralihan kuasa berjalan segera hanya dijawab dengan kata-kata tiada ketetapan secara jelas mengenai tempoh pelaksanaannya.
Kepada DSMH, kemenangan beliau di Rantau dengan majoriti yang sangat meyakinkan sudah pastilah akan mengukuhkan lagi kedudukan beliau dalam Umno dan BN selain mengukuhkan lagi kerjasama BN-PAS yang beliau sedang terajui.
Kesimpulan
Kekalahan kali ketiga berturut-turut PH ini sepatutnya sudah lebih dari cukup untuk menyedarkan pimpinan tertinggi PH dari lamunan indah dan dari sindrom penafian mereka, dan jika selepas ini masih belum juga ada sebarang perubahan drastik dari mereka maka akan lebih besarlah kemungkinan untuk PH benar-benar menjadi 'kerajaan sepenggal'.
DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF - HARAKAHDAILY 13/4/2019

sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

0 comments:

Post a Comment