Wednesday, 24 April 2019

#Informasi: Perlu Bantah Pembelajaran Sains-Matematik Bahasa Inggeris. -UMMAH




Himpunan Bantah Pelaksanaan Semula PPSMI-DLP
KUALA LUMPUR: Gabungan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berhasrat mengadakan himpunan besar-besaran membantah cadangan pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris - Dual Language Programme (PPSMI-DLP) pada awal bulan Mei ini.
Menurut Sekretariat UMMAH Mohd Zai Mustafa, himpunan tersebut sebagai peringatan kepada kerajaan baharu agar berperanan mempertahankan dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam pendidikan negara.
"Pelaksanaan semula PPSMI-DLP akan menggugat hak keistimewaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Akta Pendidikan 1996.
"Maka MAPPIM dan gabungan lebih 1,000 NGO UMMAH menyokong sepenuhnya sidang media hari ini dan seterusnya akan menganjurkan himpunan rakyat besar-besaran secara aman seperti ICERD bagi membantah pelaksanaan semula PPSMI-DLP bertempat di ibu negara pada awal Mei sebelum Ramadhan nanti," katanya.
Beliau ditemui Harakahdaily pada sidang media pembentangan laporan kajian PPSMI yang diadakan tengah hari tadi di ibu pejabat Majlis Perundingan Melayu, Jalan Ledang, di sini.
Ujarnya, membantah PPSMI-DLP bukan bermakna pihaknya memusuhi bahasa Inggeris sebaliknya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diingatkan perlu meningkatkan terlebih dahulu prasarana pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.
"Kami bukan anti-BI (Bahasa Inggeris) malah sangat setuju ianya diperkasakan sebagai bahasa kedua dan bahasa tambahan bagi meningkatkan ilmu.
"Kami mencadangkan kepada kerajaan, KPM agar meningkatkan dahulu prasarana pengajaran dan pembelajaran subjek BI melalui memperkasakan kurikulum silibus, kemahiran kompetensi guru dan interaktif ko-kurukulum serta peperiksaannya.
"Kami menegaskan bahawa bagi meningkatkan mutu dan kualiti standard Sains dan Matematik di peringkat antarabangsa, berdasarkan prestasi penilaian PISA dan TIMMS maka, semua subjek ini mestilah diajar semula dalam bahasa kebangsaan juga bahasa ibunda sepertimana saranan piagam Unesco (pendidikan).
"Sebagaimana tahun 2003 markah score sains pelajar Malaysia ialah 510 berada di atas markah purata dunia iaitu 500," ulasnya yang juga Ketua Eksekutif MAPPIM. – HARAKAHDAILY 23/4/2019

sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

0 comments:

Post a Comment