Sunday, 21 April 2019

#Informasi: Pemutihan Perkhidmatan Awam. K'jaan Jadi ‘mabuk kuasa’?



Pemutihan perkhidmatan awam: Apakah maksud kerajaan?

PAS menuntut pihak Kerajaan menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan “proses pemutihan dalam Perkhidmatana Awam” seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Ong Kian Ming baru-baru ini. 

Penjelasan juga perlu diberikan sama ada perkara ini telah diputuskan oleh Kabinet dan apakah kapasiti dan motif Timbalan Menteri MITI mengeluarkan kenyataan tersebut yang boleh memberikan persepsi pelbagai negatif terhadap Perkhidmatan Awam dan pegawai serta kakitangannya. 

PAS turut menuntut penjelasan adakah frasa “proses pemutihan dalam Perkhidmatan Awam” yang digunakan itu merupakan satu tindak balas sewenang-wenang Kerajaan PH berhubung kedudukannya yang tidak mendapat dukungan dan sokongan daripada pegawai Kerajaan tanpa terlebih dahulu memeriksa sebab dan puncanya. 

Pada masa yang sama PAS turut meminta penjelasan Kerajaan dalam beberapa isu yang melibatkan tindakan pimpinan Kerajaan PH dan juga badanbadan di bawahnya yang jelas menampakkan pelanggaran undang-undang dan prosedur yang diguna pakai dan diamalkan dalam Perkhidmatan Awam selama ini, antaranya: 

(i) Atas kapasiti apakah Ketua Menteri Pulau Pinang membuat kenyataan bahawa SPRM telah 'membersihkan' pihak-pihak yang terlibat dalam Isu projek pembinaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang dan tiga jalan yang bernilai RM6.3 bilion. Bukankah ini peranan dan fungsi SPRM?. Lagipun kini terdapat kes Mahkamah yang melibatkan tuduhan di bawah Seksyen 420, Kanun Kesiksaan, iaitu menipu ke atas individu yang dikatakan ada kaitan dengan isu ini; 

(ii) Kenapakah Jabatan Peguam Negara memfailkan Afidavit melalui Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam kes Inkues Pegawai Bomba Mohd Adib Mohd Kassim mengesahkan si-mati 'tidak dipukul oleh mana-mana orang' sedangkan Prosiding Inkues masih lagi berjalan; 

(iii) Bolehkah Kerajaan memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana pihak tertentu yang terlibat dalam tuduhan dan dakwaan rasuah di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga sebahagian besar pegawai dan kakitangan JPJ Pulau Pinang ditangkap untuk siasatan lanjut; dan 

(iv) Kenapakah kes-kes rasuah dan jenayah yang melibatkan pimpinan Kerajaan PH termasuk anggota keluarga mereka kelihatan tidak dikendalikan secara telus dan dilengah-lengahkan proses pendakwaan?

Penjelasan Kerajaan dalam perkara ini, terutamanya dalam isu-isu di atas amat penting bagi memperjelaskan sikap kerajaan berhubung apa yang dikatakan sebagai “proses pemutihan dalam Perkhidmatana Awam”. 

Kerajaan tidak seharusnya bertindak dan menjadi ‘mabuk kuasa’ semata-mata untuk menutup kelemahan mereka sendiri dengan menekan dan ‘membalas dendam’ terhadap musuh-musuh politik PH sama ada yang berada dalam perkhidmatan kerajaan atau di luarnya. 

Dalam masa yang sama Kerajaan tidak wajar bertindak seolah-olah memberi ‘amaran’ kepada kakitangan awam supaya mereka hanya perlu menjadi ’pak turut’ kerajaan dalam semua keadaan, sama ada betul ataupun salah. 

TAKIYUDDIN HASSAN 
Setiausaha Agung PAS 
Bertarikh: 22 April 2019 – HARAKAHDAILY 22/4/2019

sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

0 comments:

Post a Comment