Monday, 29 April 2019

#Informasi: Peguam Muslim Diseru Jadi Benteng Islam Negara -T/Pemuda PAS




KUALA LUMPUR: Peguam Muslim mesti memiliki perancangan strategik untuk menerajui sektor kritikal negara termasuk antaranya bidang perundangan yang sangat berkait dengan kewajipan menegakkan keadilan.
Seruan tersebut dinyatakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin ketika berucap merasmikan Activate Seminar Pemerkasaan Peguam Muslim 1.0 di Wisma Sejarah, di sini kelmarin.
Menurut beliau, para Peguam Muslim menggalas tugas untuk mengangkat martabat Islam dengan memastikan keadilan Islam ditegakkan dalam sistem perundangan negara serta tidak bertentangan dari ajaran agama.
"Ini bagi menjunjung Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Tugas ini berat, lebih-lebih lagi apabila profesion perundangan kini dikuasai golongan Liberal dan yang anti perundangan Islam.
"Kebelakangan ini, terdapat berbagai usaha dilakukan bagi merendahkan martabat perundangan Islam dan mengekang pelaksanaan Islam dalam bidang perundangan.
"Beberapa keputusan penghakiman yang dibicarakan di mahkamah mula menerapkan unsur Hak Asasi Manusia mengikut tafsiran antarabangsa yang bersifat universal dan tidak mengikut tafsiran setempat bersifat 'cultural relativism'.
"Sekali gus memberikan kesan kepada kedudukan Islam di negara ini," ujarnya turut mengimbas halangan pihak tertentu ke atas usaha pindaan Akta 355 dan meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah.
Katanya, mereka bahkan bertindak menyaman usaha pindaan akta itu, selain memiliki kedudukan dalam Majlis Peguam di mana telah mendapat sokongan kuat pihak yang memegang tampuk kuasa dalam Kerajaan Malaysia Baharu.
Beliau turut menyentuh isu lantikan kuasa tertinggi di bidang itu kepada bukan Islam yang menyaksikan wujud desakan menandatangani perjanjian-perjanjian antarabangsa yang boleh memberi kesan kepada Islam dan Bumiputera.
Termasuk dihadapkan beliau iaitu isu graduan undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang perlu melalui Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), sedangkan sudah lebih 10 tahun permohonan pengecualian dibuat.
Sebaliknya kemuka Ir Khairil, pengiktirafan mudah diberi kepada Sister In Islam yang membawa salah faham terhadap agama, malah difatwakan menyeleweng dan sesat, termasuk terbaru cuba menggubal Akta Kesamaan Gender.
Demikian itu kata beliau, hal-hal tersebut menjadi cabaran kepada para Peguam Muslim untuk terus memastikan kedaulatan Islam terkawal melalui bidang perundangan.
"Harus menjadi suara paling vokal dan aktif mempertahankan Islam dari diusik golongan-golongan ini dan perlu menguasai posisi-posisi strategik agar menjadi suara semak dan imbang memastikan kedaulatan Islam di bidang perundangan terjamin.
"Tingkatkan pengetahuan diri dalam semua cabang perundangan, kemahiran advokasi, juga pemahaman dalam syariah, fiqh, usul fiqh, tafsir Quran dan Hadis supaya menjadi hujah dalam menghadapi musuh Islam.
"Juga perlu menyusun atur rancangan ligitasi strategik bagi kes tertentu; melibatkan tafsiran Perlembagaan dan undang-undang berkaitan Islam dalam usaha mengembalikan martabat Islam," ujarnya.
Seru beliau, para Peguam Muslim perlu mengukuhkan kekuatan kerjasama dengan menyertai kumpulan atau persatuan, selain penglibatan aktif serta tidak berpeluk tubuh dan melihat musuh Islam mencemari sistem perundangan.
Tambahnya lagi, PAS berjuang untuk meletakkan keadilan bersama roh dan semangatnya dalam sistem perundangan negara yang sangat berhubung kait antara kuasa kehakiman dengan kuasa legislatif.
Apatah lagi menurutnya, sejarah membuktikan Tanah Melayu pernah mengangkat perundangan Islam di mana wujud elemen hudud dan takzir dalam Risalah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.
"Sehinggalah penjajah British menandatangani Perjanjian Pangkor 1874. Itulah titik hitam sistem perundangan Islam. Lahirnya sekularisme. Semua bab perundangan, pengurusan negara diletak bawah Residen.
"Sultan-sultan dikecilkan kuasanya kepada perkara bersifat juzuk Islam. Sebab itu para ulamak bangun menentang hingga syahid. Ulamak berkumpul di Gunung Semanggol Mac 1948 melahirkan Hizbul Muslimin.
"Kemudian dipadamkan dari sejarah, seterusnya perjuangan ulamak membawa kepada penubuhan PAS 1951. Banyak sebelumnya mereka ditangkap bawah Ordinan Darurat. Mereka juga memperjuangkan kemerdekaan.
"Maka tertubuhnya PAS adalah bagi meneruskan perjuangan para ulamak untuk mendaulatkan Islam yang merupakan puncak keadilan di Malaysia khususnya," ujarnya jurutera muda ini.
Usaha itu perjelasnya, telah disambung para bijaksana dalam PAS antaranya Almarhum Prof Dr Ahmad Ibrahim yang menubuhkan Mahkamah Syariah di mana tidak boleh diganggu perundangan sivil menurut Perkara 121(1A).
Kata Ir Khairil, walaupun Mahkamah Syariah merupakan 'anak tiri' perundangan Malaysia, setidak-tidaknya menjadi titik permulaan menggerakkan sistem keadilan Islam di negara ini. - HARAKAHDAILY 29/4/2019

sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

0 comments:

Post a Comment