Wednesday, 24 April 2019

#Informasi: Masalah Air S'ngor, Makan Alas Plastik?




GANGGUAN bekalan air susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) bermula, semalam memberi kesan kepada pengusaha restoran.
Tinjauan Harian Metro di restoran mamak 24 jam sekitar daerah ini mendapati kebanyakan pengusaha menggunakan plastik untuk mengalas pinggan digunakan pelanggan.
Pengarah Urusan Rangkaian Restoran Khulafa Sdn Bhd, Datuk Abdul Wahith Sharfuddin berkata, pihaknya memperuntukkan RM30,000 untuk melakukan persiapan bagi berdepan gangguan bekalan air.
Katanya, sebanyak empat tangki air dengan setiap satu berharga RM400 ditempatkan di rangkaian restoran itu termasuk di Klang dan Subang Jaya.

“Setiap cawangan bergantung kepada tangki berkenaan sepanjang empat hari gangguan bekalan air. Kami juga membeli air minuman dalam jumlah yang banyak kerana pelanggan pasti ramai pada sebelah petang dan malam.
 PENDUDUK menolak tong untuk mengisi air menggunakan troli.
 PENDUDUK menunggu giliran mengisi air dari lori tangki Syabas akibat gangguan bekalan air sehingga 86 jam sekitar Lembah Klang.
 SEORANG remaja mengisi air di pili awam yang disediakan Air Selangor di Seksyen 16, Shah Alam.
“Bagi menjimatkan air kami gunakan cawan plastik bagi setiap minuman dipesan pelanggan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu pengurus sebuah restoran di Seksyen 14, hanya mahu dikenali Yusuf, 41, berkata, pihaknya menyediakan air botol kepada pelanggan.
Jelasnya kakitangan tidak boleh memberikan cawan plastik berikutan mematuhi prosedur syarikat yang mahu menjaga kualiti.
“Justeru, kami guna botol plastik supaya ia boleh dihantar ke pusat kitar semula,” katanya.
Manakala, tinjauan di pili awam yang disediakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Seksyen 16, mendapati lokasi itu lengang.
Penduduk, Nasaruddin Saaidan, 50, berkata, dia menyimpan air dalam jumlah mencukupi kerana tidak mahu beratur panjang bagi mendapatkan bekalan.
Katanya, bekalan air di rumahnya mula terputus sejak jam 8 pagi, namun dia tidak panik kerana sudah bersedia untuk berdepan situasi itu.
Selain Shah Alam, gangguan bekalan air turut berlaku di Klang, Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Kuala Langat serta Kuala Selangor. (HMetro)

sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

0 comments:

Post a Comment