Friday, 19 April 2019

#Informasi: Ini Kisah Sedih Lelaki Tua Pelarian Syria..


Lelaki tua pelarian Syria ini jalan kaki 3km setiap hari demi sara keluarga
Abu Bilal, 52, bergambar bersama kambing ternakannya di kem Al Aghedad, kota Talul Kamarah. - Bernama

Lelaki tua pelarian Syria ini jalan kaki 3km setiap hari demi sara keluarga
IDLIB: Seorang pelarian Syria, Abu Bilal, 52, berkongsi pengalamannya berjalan kaki sejauh tiga kilometer dari kota Talul Karamah ke kota berdekatan setiap hari untuk bekerja bagi mendapatkan duit membeli makanan buat kambing ternakannya dan baja bagi tanamannya.

Lelaki tua yang berasal dari kota Hama itu berkata duit hasil titik peluhnya itu juga digunakan bagi membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan buat diri dan kedua-dua anak kecilnya.

"Bagi mencari duit untuk membeli makanan kambing-kambing yang saya ternak, baja-baja dan biji benih tanaman, bekalan makanan dan ubat-ubatan, saya terpaksa melakukan pelbagai jenis kerja dengan berjalan kaki tiga kilometer setiap hari dari kota Talul Karamah ke kota-kota sekitar.

"...dan itulah rutin saya bagi menyara keluarga sendiri," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kem Al Aghedad di kota Talul Karamah, pada Khamis.

Katanya selain menternak kambing, beliau juga mengusahakan tanaman buah tomato, ubi kentang dan sayur timun untuk dimakan, yang mana beliau akan menyedekahkan lebihan hasil tanamannya itu kepada rakan-rakannya yang susah di sekitar kem.

Beliau turut menceritakan detik cemas ketika kampungnya diserang tentera Bashar Al Assad tiga bulan lalu, yang mana beliau melarikan diri bersama kedua-dua anaknya yang masing-masing berumur 10 dan 9 tahun sebelum tiba di kem itu untuk berteduh bersama hampir 100 keluarga pelarian yang lain.
Abu Bilal, 52 (empat, kiri), memerhati kambing ternakan dan beberapa orang rakannya bercucuk tanam di kem Al Aghedad, kota Talul Kamarah

Abu Bilal, 52 (empat, kiri), memerhati kambing ternakan dan beberapa orang rakannya bercucuk tanam di kem Al Aghedad, kota Talul Kamarah. - Bernama

"Marabahaya tidak pernah berhenti menghantui saya sekeluarga, yang mana tiga bulan lalu kami terpaksa lari dari kampung kami di Hama kerana telah diserang tentera Al Assad dan malangnya isteri saya syahid ketika serangan itu.

"Namun apabila tiba dan menetap di kem ini, kami menyangkakan kami telah selamat tetapi baru sahaja seminggu lepas kem ini telah dibedil bom mortar oleh pesawat tentera Al Assad sehingga mengorbankan 17 nyawa," kata Abu Bilal.

Beliau ditemui ketika delegasi daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) tiba di kem Al Aghedad bagi menyampaikan bantuan 100 buah khemah baharu bagi menggantikan khemah-khemah yang telah lusuh dan rosak.

Delegasi seramai 11 orang itu turut sama bergotong-royong bagi memasang kesemua khemah itu bersama-sama penerima.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim yang juga Ketua Delegasi Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata keunikan khemah baharu itu ialah ianya dilengkapi dengan pintu besi dan mempunyai selak kunci dari dalam bagi mengelakkan khemah dimasuki haiwan atau serangga berbahaya.

"Uniknya khemah yang kita sumbangkan ini ialah selain ciri-ciri keselamatannya yang telah ditambah baik berbanding khemah yang kita sumbangkan sebelum ini, ia dilengkapi dengan pintu besi dan mempunyai selak kunci di samping khemah ini turut menggunakan kerangka batang besi yang menjadikan ia sangat kukuh untuk menghadapi sebarang jenis cuaca ekstrem," katanya.

Ahmad Sani Araby berkata Mapim melalui Misi Bantuan Kemanusiaan Rescue Syria akan menambah lebih banyak jumlah penerima khemah baharu bagi pelarian di sekitar Syria dari semasa ke semasa.

Pihaknya merayu agar rakyat Malaysia turut menghulurkan sumbangan wang ringgit secara berterusan di http://bit.ly/2UMoUZi atau Maybank 5628-3463-6987 (Syria Emergency Appeal).
-- BERNAMA
sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

0 comments:

Post a Comment