Thursday, 25 April 2019

#Informasi: Himpunan Nelayan Isu Pencerobohan Nelayan Asing.




Respons menteri hasil desakan himpunan nelayan
SEMALAM saya telah turun bersama kira-kira 200 nelayan Pantai Timur termasuk dari Terengganu, Kelantan dan Pahang yang berhimpun dengan kira-kira 40 buah bot nelayan Terengganu dipasang dengan pelbagai sepanduk dan berlabuh di tempat yang sama.
Himpunan ini julung-julung kali diadakan untuk memberi tekanan dan menyedarkan kerajaan bahawa inilah rakyat yang mereka perlu pertahankan.
Tujuan himpunan ini juga adalah bagi mendesak kerajaan menyelesaikan isu pencerobohan nelayan asing terutamanya daripada Vietnam dengan segera. Alhamdulillah, hasil desakan himpunan nelayan tersebut, menteri-menteri telahpun memberikan respons. Tahniah saya ucapkan kepada nelayan-nelayan atas usaha mereka memperjuangkan isu nasional ini.
Dalam respons menteri itu, mereka berjanji untuk mewujudkan jawatankuasa petugas khas yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan disertai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar serta tujuh agensi penguatkuasaan bagi mengatur operasi khas dalam tempoh yang segera bagi mengekang masalah pencerobohan nelayan asing daripada terus berlaku.
Setelah sekian lama nelayan-nelayan Vietnam ini dibiarkan berleluasa di perairan kita, kita tidak mahu respons kerajaan itu menjadi sekadar janji untuk menyedapkan hati peserta himpunan.
Oleh itu, saya sendiri akan memberikan tekanan kepada kerajaan di Parlimen mengenai perkembangan dan juga keberkesanan penyelesaian yang mereka tawarkan. Kita akan melihat selepas ini sejauh mana kecekapan kerajaan baru mengotakan janji mereka dalam isu pencerobohan nelayan asing ini.
“Islam Memimpin”
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM

Ahli Parlimen Kuala Terengganu
25 April 2019/ 19 Syaaban 1440 – HARAKAHDAILY 25/4/2019

sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

0 comments:

Post a Comment