Tuesday, 16 April 2019

#Informasi: 11 Keluarga Sedih 'Dihalau' Sebelum Ramadan.


MOHD. ZIN MUSTAFA, 47, (kiri) bersama-sama ahli keluarga duduk di bawah flat Jalan Tasek 64, Seri Al
MOHD. ZIN MUSTAFA, 47, (kiri) bersama-sama ahli keluarga duduk di bawah flat Jalan Tasek 64, Seri Alam, Pasir Gudang, Johor, selepas diarahkan keluar rumah oleh kerajaan negeri kerana tunggakan sewa tidak dibayar sejak 2015. - UTUSAN ONLINE


PASIR GUDANG 16 April - Sebanyak 11 keluarga yang tinggal rumah di Flat Jalan Tasek 64, Seri Alam di sini hari ini hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka disita dipercayai gagal melunaskan tunggakan bayaran sewa kepada kerajaan negeri.
Mereka bingung dengan perkembangan itu tambahan pula Ramadan akan tiba tidak lama lagi, keadaan tersebut memaksa penghuni terbabit menumpang di rumah saudara-mara dan yang tidak tahu untuk pergi ke mana.
Menurut seorang penduduk, Mohd. Zin Mustafa, 47, mereka bersama-sama penduduk yang mendiami 11 buah rumah di blok A flat terbabit diarahkan keluar bermula pukul 9 hingga 12.30 tengah hari.
“Penguat kuasa memberikan masa kepada saya selama 10 minit untuk mengemas barang dan keluar dari rumah kami. Saya bersama-sama isteri serta empat anak lain tiada pilihan lain selain keluar dan duduk di bawah flat.
“Tidak seperti keluarga lain yang bertindak menumpang rumah saudara mara mereka. Kami hanya duduk di bawah flat kerana kami tiada saudara mara yang boleh untuk kami menumpang,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.
Mohd. Zin menambah, punca mereka diarahkan keluar selepas didapati gagal melunaskan bayaran sewa kira-kira RM100 kepada kerajaan negeri sejak 2015.
“Saya menghadapi kekangan kerana mempunyai masalah kesihatan iaitu gelinciran cakera (slip disc) dan tidak boleh bekerja manakala isteri turut sama sukar mencari pekerjaan kerana warga Indonesia.
“Selain itu, saya juga mempunyai empat anak berusia 15 hingga tujuh tahun. Dua daripada mereka mengalami penyakit sawan. Kami bergantung sepenuhnya kepada sumbangan daripada Baitulmal sebanyak RM500 sebulan,” katanya. - UTUSAN ONLINE

sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

0 comments:

Post a Comment